SEBUAH kenderaan nekad melawan arus sejauh dua kilometer (km) ketika dikejar polis selepas melarikan diri dalam sekatan jalan raya di Kilometer (KM) 72 Jalan Klang-Teluk Intan di Sabak Bernam, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza dinaiki dua lelaki cuba melarikan diri dari sekatan jalan raya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, pihaknya kemudiannya bertindak mengekori MPV itu.
“Setibanya di Jalan Tali Air 6, pemandunya memandu secara melawan arus sehingga ke Jalan Tali Air 7 dan Jalan Haji Miskan.
“Pemandu itu kemudiannya melompat keluar dari kenderaannya yang masih bergerak sebelum MPV terbabit terbabas ke dalam parit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pemandunya berjaya meloloskan diri tetapi seorang penumpang berusia 27 tahun berjaya ditahan untuk tindakan lanjut.
“Hasil pemeriksaan ke atas beg sandang suspek itu menemukan 19 paket mengandungi ketulan putih disyaki syabu.
“Lelaki itu kemudiannya diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Jelas Chee Khoon, kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kita sudah mengenal pasti identiti individu yang melarikan diri dalam kejadian tersebut. Usaha mengesan suspek sedang giat diteruskan untuk siasatan lanjut,” katanya.
Tambah beliau, suspek yang ditahan mengalami cedera ringan pada kaki kiri.
Terdahulu, kejadian itu tular di media sosial menerusi satu video berdurasi 46 saat yang memaparkan sebuah MPV dikejar kenderaan polis.
MPV yang berani mati itu telah melawan arus itu berada di laluan paling kiri jalan raya dan kemudiannya bertindak membelok ke kiri dipercayai lokasi pusingan U. – Malaysiapost

