ANAK kepada pelawak Shahrol Shiro iaitu Ismail Rifqi yang berusia lapan bulan perlu menjalani pembedahan buah pinggang secepat mungkin.
Perkembangan semakin membimbangkan itu disahkan isteri Shahrol, Nor Farhanah Syamimi yang berkata, doktor memberitahu organ berkenaan kini semakin membengkak dan 80 peratus salurannya telah tersumbat.
Katanya, pembedahan secepat mungkin perlu dilakukan bagi mengelakkan keadaan Ismail Rifqi menjadi lebih teruk.
“Rabu lepas kami bawa Ismail untuk menjalani ujian Mag3 di Sunway Medical Centre bagi mengetahui lebih lanjut keadaan buah pinggang dia.
“Doktor beritahu buah pinggang kanan Ismail tiada, maksudnya dia lahir dengan hanya satu buah pinggang sahaja di sebelah kiri.
“Kami memang tidak tahu sebab masa saya hamil, tak terfikir untuk buat detail scan. Saya juga tidak mengalami sebarang masalah kesihatan atau alahan ketika itu. Setiap kali hadir ke pemeriksaan bulanan, doktor cakap saya dan anak okay.
“Doktor sarankan pembedahan perlu dilakukan segera sebab 80 peratus saluran buah pinggang ke pundi kencing tersumbat dan menyebabkan buah pinggangnya bengkak,” katanya dipetik mStar, hari ini.
Nor Farhanah menjelaskan, walaupun diberi tempoh masa sebulan, namun dia dan Shahrol enggan berlengah memandangkan Ismail hanya bergantung kepada satu buah pinggang sahaja.
“Kos yang dianggarkan antara RM30,000 hingga RM40,000 bergantung kepada keadaan Ismail selepas pembedahan. InsyaAllah, dalam seminggu dua ini kami usahakan untuk pembedahan.
“Tapi doktor pun ada bagi tahu selepas pembedahan ini kemungkinan saluran tersumbat itu akan berulang tapi sejauh mana tahap seriusnya kita tidak tahu. Ada tahap yang boleh dirawat dengan makan ubat sahaja.
“Walaupun kami diberitahu pembedahan ini berat untuk Ismail namun demi kebaikan dia dan kami amat mengharap semuanya dipermudahkan,” katanya.
Meskipun masih bersedih dan terkejut dengan keadaan kesihatan Ismail, namun dia bersyukur kerana dapat mengesan awal masalah yang dialami anaknya itu.
“Alhamdulillah, sekurang-kurangnya kami dapat tahu awal dan kami boleh beri rawatan dengan pembedahan ini tidak sampai ke tahap dialisis.
“Masa awal-awal dapat tahu perkara ini, saya dan suami memang rasa Ismail dalam keadaan yang teruk sehinggalah Rabu lepas apabila doktor menjelaskan keadaan sebenar, kami sedikit lega kerana buah pinggang kirinya masih boleh berfungsi dengan baik jika ia dijaga dengan rapi,” katanya.
Selain Ismail, pasangan yang berkahwin pada 8 Mac 2016 itu juga dikurniakan anak sulung bernama Iskandar Rizqi yang kini berusia empat tahun. – Malaysiapost

