MAFI sambut baik wujud badan khas selesai isu harga ayam

0
2

KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyambut baik usaha mewujudkan badan khas sebagai jalan penyelesaian menyeluruh dalam isu kenaikan harga ayam.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata badan khas itu perlu bagi membolehkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berbincang dengan lebih berkesan mengenai isu terbabit dengan MAFI dan Kementerian Kewangan.

‘Ia penting bagi mencari penyelesaian menyeluruh iaitu harga yang patut bagi rakyat Malaysia dan harga pengeluaran yang perlu ditanggung pihak industri,” katanya dipetik Berita Harian, hari ini.

Ronald mengulas kenyataan KPDNHEP baru-baru ini yang menyatakan akan bekerjasama dengan MAFI dan Kementerian Kewangan untuk menstabilkan harga ayam.

Terdahulu, KPDNHEP dilapor mahu melaksanakan kawalan harga ayam jika ia terus meningkat di luar harga munasabah atau terdapat kartel memanipulasi harga di semua peringkat rantaian.

Ronald berkata, banyak faktor yang perlu diambil kira dalam isu kenaikan harga ayam atau produk makanan yang lain.

Beliau berkata, MAFI berpendirian perlu ada keseimbangan kos pengeluaran yang ditanggung pihak industri dan kos yang tidak membebankan rakyat.

”Kita perlu melihat faktor yang mengakibatkan kenaikan harga, sama ada ia faktor komponen bekalan makanan, faktor untuk mendapatkan tenaga kerja yang mencukupi atau faktor lain.

”Semua kementerian terbabit perlu mencari strategi yang menyeluruh kerana ia juga membabitkan pengimportan bahan makanan ternakan dan pasaran antarabangsa.

“Dalam hal ini, kita perlu bercakap mengenai pemberian subsidi dan sebagainya untuk menampung kos import,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here