PENGOPERASIAN Greater Klang Valley Task Force Tentera Darat ditamatkan selepas 41 hari beroperasi, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Menurutnya, penamatan itu susulan perkembangan positif situasi pandemik Covid-19 di Lembah Klang ketika ini.
Katanya, tindakan tersebut diambil dengan persetujuan GKVSTF bersama Kementerian Kesihatan (KKM) selepas jumlah kes harian Covid-19 mulai menurun, kapasiti hospital semakin terkawal, selain peningkatan jumlah individu yang lengkap divaksinasi.
Jelasnya, dengan penamatan operasi itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus menumpukan terhadap pelbagai pengoperasian berkaitan Covid-19 di seluruh negara.
“Ia antara lain termasuk mendirikan lebih banyak Hospital Medan ATM di negeri-negeri yang dikenal pasti oleh KKM dan menambah pasukan ‘Combat Medic Vaccination Team’ (CMVT) bagi membantu KKM melaksanakan pemberian vaksin khususnya di kawasan pedalaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, Hishammuddin berkata, ATM juga akan meningkatkan kapasiti pemberian vaksin secara pandu lalu kepada masyarakat awam.
Menurutnya, penglibatan anggota Tentera Darat dalam GKVSTF sangat efektif dan memberi impak yang besar, sekali gus membantu KKM dalam menangani situasi Covid-19 di semua hospital di Lembah Klang terutama ketika kemuncak krisis.
Katanya, melalui pengoperasian tersebut, Tentera Darat telah mengatur gerak 1,080 anggota bagi melakukan pelbagai penugasan dalam kawasan Zon Merah Covid-19 di hospital Lembah Klang.
Ia merangkumi menugaskan ‘Oxygen Carrier Team’ (OSCAR) bagi membantu proses mengangkat, mengisi semula dan menukar ganti 14,258 silinder oksigen, serta menempatkan ‘Rapid Resupply Team’ (RRT) bagi membantu proses pengambilan dan pengedaran peralatan perubatan yang kritikal. – Malaysiapost

