Calon Timbalan Speaker: Bersatu tegas isu integriti – Wan Saiful

0
2

BERSATU mempunyai prinsip tegas dalam isu berkait integriti dan urusan mahkamah, kata Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan. 

Beliau berkata, Bersatu tidak akan berkompromi berhubung isu berkenaan termasuk calon Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang baharu. 

“Pandangan Bersatu dalam isu berkait integriti dan urusan mahkamah sentiasa konsisten dan sedia diketahui umum. 

“Kita boleh bersetuju dengan cadangan calon dari parti lain, tetapi runding dahulu nama calon itu kerana parti Bersatu ada prinsip tegas yang tidak akan kita kompromi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini. 

Wan Saiful menjawab mengenai isu penolakan nama Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai calon Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang baharu. 

Menurutnya, sewajarnya perkara besar dalam kerajaan yang berbentuk gabungan pelbagai parti seperti yang ada hari ini haruslah mengambil kira pandangan semua pihak dalam kerajaan.   

Terdahulu dilaporkan keengganan Bersatu menyokong Ahmad mengakibatkan pemilihan jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang sepatutnya berlangsung Selasa lalu terpaksa ditangguhkan. 

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian sebelum ini dicalonkan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat bagi menggantikan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said, yang meletakkan jawatan. 

Sementara itu, Pakatan Harapan (PH) mencalonkan Nga Kor Ming sebagai calon bagi kerusi berkenaan di pihak pembangkang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here