SERAMAI 103 penduduk yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh di Kemensah, Ampang malam tadi sudah diarahkan berpindah.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata setakat ini kawasan yang terjejas adalah di Jalan 7, Kemensah Heights membabitkan tiga rumah dan di Jalan Bukit Kemensah Indah membabitkan 28 rumah.
Menurutnya, daripada 28 rumah townhouse berkenaan, hanya 24 unit rumah yang terjejas.
“Polis menerima laporan awal mengenai kejadian tanah runtuh di Kemensah ini pada jam 10.05 malam tadi dan susulan itu kerja-kerja menyelamat dijalankan oleh pihak bomba dan polis.
“Daripada malam tadi hingga pagi ini, kami berjaya memindahkan keseluruhan penduduk yang terjejas iaitu seramai 103 orang,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian, hari ini.
Beliau berkata, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan membuat penutupan menggunakan kanvas pada kawasan tanah yang terjejas untuk mengelak kejadian lebih buruk.
Menurutnya, pihak berkuasa berkaitan juga sedang menjalankan kajian dan siasatan bagi mengenalpasti punca kejadian sebenar.
“Polis akan membuat kawalan keselamatan di kawasan ini sehingga pihak berkuasa berkaitan memaklumkan sama ada boleh dibuka atau tidak, segala pergerakan di kawasan tanah runtuh dikawal.
“Mereka yang tidak mempunyai kaitan dengan kawasan tanah runtuh tidak dibenarkan masuk dan laluan di kedua-dua kawasan terjejas dikawal polis,” katanya.
Mohamad Farouk berharap, penduduk terjejas memberi kerjasama dan dalam masa menasihatkan mereka supaya menyelamatkan barangan berharga bagi mengelakkan daripada sebarang kemungkinan yang mungkin berlaku. – Malaysiapost

