Bekas Naib Presiden Gerakan terajui Harapan Rakyat, tanding DUN Merotai

0
3

BEKAS Naib Presiden Parti Gerakan, Tan Sri Liew Yun Fah membuat penampilan semula apabila mengumumkan akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Beliau yang pernah memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai di Kalabakan pada 2004, akan bertanding di kawasan sama namun atas tiket Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) yang baru diterajuinya.

Harapan Rakyat adalah parti serpihan PKR Sabah yang diasaskan bekas Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Seri Lajim Ukin.

Bercakap pada sidang media selepas pelancaran parti itu di Tawau hari ini, Yun Fah berkata parti itu tidak akan bergabung dengan parti lain, namun sedia memberi sokongan kepada kerajaan pemerintah.

“Apa yang lebih penting sekarang ini adalah mendapat sokongan dan mandat rakyat terlebih dahulu,” katanya.

Beliau menjelaskan hanya empat kerusi bakal ditandingi parti itu kali ini.

“Parti ini mewakili semua suku kaum di Sabah dan fokus utama melaksanakan apa saja agenda demi kepentingan rakyat Sabah dan khasnya di daerah Tawau,” katanya.

Pada majlis itu juga, beliau mengumumkan calon yang bakal mewakili parti itu iaitu Arifin Kassim (Balung); Yapp Yin Hoau (Seri Tanjung) dan Wong Jin Soon (Kukusan).