PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak akan mengadakan sebarang perjanjian dengan kerajaan mahupun mana-mana parti pembangkang, seperti dimeterai antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini.
Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Pejuang akan kekal sebagai blok bebas dan tidak akan terikat dengan mana-mana pihak, namun sedia mengadakan perbincangan untuk kepentingan rakyat.
“Kita bebas, tak terikat dengan mana-mana parti, kita boleh bercakap dengan mereka, tapi tak terikat,” katanya ketika ditemui pemberita di Pulau Langkawi hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas saranan veteran DAP, Lim Kit Siang semalam supaya Pejuang bersama-sama Warisan dan Muda menyokong dan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) reformasi-perbekalan-kepercayaan (CSR) dengan kerajaan.
Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, Pejuang sendiri tidak dijemput sama ada oleh PH atau kerajaan untuk membincangkan mengenai MoU tersebut.
Namun katanya, Pejuang berpendapat perlu ada kebebasan bagi parti pembangkang untuk menegur kerajaan seperti amalan demokrasi biasa.
“Dalam sistem demokrasi kita perlu parti lawan untuk beri teguran kepada kerajaan, lainlah kalau kita ada kerajaan perpaduan di mana semua orang (parti) ada kuasa yang sama.
“Jadi kalau kita ambil bahagian kerana dapat pulangan tertentu, itu tak sesuai kerana nampak unsur rasuah, iaitu kami akan sokong kalau kamu bagi sekian-sekian kepada kami, itu kami tak boleh terima. Kalau nak bagi, bagi pada semua.
“Sebab itu Pejuang buat keputusan tidak akan terlibat, kita akan jadi bebas, kita akan jadi pembangkang dan tiada perjanjian dengan kerajaan,” katanya.
Kit Siang semalam dilaporkan berkata DAP dan PH akan melakukan yang terbaik untuk menjayakan MoU ditandatangani dengan kerajaan walaupun tiada jaminan ia akan berjaya membawa Malaysia ke suatu landskap politik baru.
Katanya, antara lain ia bertujuan untuk menyatukan rakyat supaya mereka dapat memberikan tumpuan tidak berbelah dalam usaha memenangi perang melawan wabak Covid-19 dan mengatasi kesan ditimbulkan oleh wabak tersebut.
“Kita tidak mahu Malaysia berakhir sebagai negara kleptokrasi, kakistokrasi dan gagal.
“MOU CSR tidak bermaksud tiada lagi blok pembangkang di Parlimen kerana Ahli Parlimen DAP dan PH akan terus bersuara dan mengangkat agenda keadilan, kebebasan, kemajuan dan perpaduan seperti biasa yang kami lalukan selama ini,” katanya.

