YANG di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berangkat tiba di London bagi Lawatan Khas ke United Kingdom selama 10 hari bermula hari ini.
Pesawat khas membawa Seri Paduka berdua dan delegasi mendarat di Lapangan Terbang Luton, London pada jam 8 malam waktu tempatan (3 pagi tadi, waktu Malaysia).
Istana Negara memaklumkan Ketibaan pasangan diraja disambut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Zakri Jaafar dan isteri, Nor Aini Abdul Rahman.
“Dalam lawatan khas ini, Seri Paduka Baginda berdua dijadual berangkat melawat Projek Battersea Power Station di London, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square dan Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak di Brickendonbury, Hertford.
“Atur cara lawatan khas ini turut diisi dengan pertemuan Seri Paduka Baginda berdua bersama komuniti rakyat Malaysia di London.
“Yang di-Pertuan Agong turut dijadual berangkat menghadiri Sandhurst Reunion Dinner di Royal Military Academy Sandhurst.
Seri Paduka Baginda pernah menimba ilmu ketenteraan di akademi berkenaan dari 1978 hingga 1979,” kata kenyataan itu.
Seri Paduka Baginda turut dijadual mengadakan pertemuan dengan Sir General Nicholas Carter, Ketua Staf Pertahanan United Kingdom, yang akan menyentuh hubungan kerjasama ketenteraan dua hala Malaysia dan United Kingdom.
Sir General Nicholas Carter juga pernah menuntut di Royal Military Academy Sandhurst. Usai lawatan khas ini, Seri Paduka Baginda berdua berkenan beristirahat di London bermula dari 27 September dan dijadual berangkat pulang ke tanah air pada 23 Oktober 2021. – Malaysiapost

