Keahlian MUDA kini lebih 40,000 – Syed Saddiq

0
3

IKATAN Demokratik Malaysia (MUDA) yang diasaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman kini telah memiliki lebih 40,000 ahli di seluruh negara.

Menerusi satu hantaran di Facebooknya sempena ulang tahun pertama MUDA semalam, Syed Saddiq berkata ia bermula daripada 35 individu yang berunding untuk penubuhan MUDA disusuli 13 penaja.

“Kini MUDA ada lebih 40,000 ahli seluruh negara! Paling penting, MUDA harus terus sentiasa berkhidmat untuk komuniti, rakyat dan negara,” katanya.

Syed Saddiq berkata, sehingga hari ini MUDA belum berjaya didaftarkan sebagai sebuah parti politik, namun usaha akan terus dilakukan bagi memastikan ia menjadi kenyataan.

“Ulangtahun satu tahun MUDA tidak berdaftar. Kami belum berjaya didaftarkan, tapi semangat tak akan pudar. MUDA terus berkhidmat,” katanya lagi.

Beliau turut memuatnaik satu video bagi memperkenalkan penyelaras MUDA di setiap negeri di seluruh negara.

Syed Saddiq mengasaskan MUDA selepas dipecat daripada Bersatu bersama empat Ahli Parlimen yang lain termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad selepas enggan duduk di blok kerajaan ketika sidang Parlimen pada 18 Mei lalu.

Pada 18 Ogos lalu, Syed Saddiq Syed dan 12 individu dilaporkan akan memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman yang baharu bagi mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri serta Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) menolak rayuan untuk mendaftarkan MUDA sebagai sebuah parti politik.

Pada 26 April lalu, mereka memfailkan permohonan antara lain bagi memohon perintah mandamus untuk Menteri Dalam Negeri mencapai keputusan mengikut Seksyen 18 Akta Pertubuhan 1966 berhubung rayuan terhadap keputusan RoS pada 6 Januari yang menolak pendaftaran MUDA sebagai pertubuhan di bawah kategori parti politik. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here