AHLI Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim menzahirkan terima kasih kepada jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei atas sumbangan RM243,000 untuk menambah kapasiti Hospital Bukit Mertajam (HBM).
Sim dalam hantaran di Facebook memberitahu, beberapa minggu lalu beliau telah berbincang bersama Chong Wei mengenai keperluan menambah kapasiti HBM untuk merawat pesakit Covid-19.
Katanya, dengan pembinaan baharu itu HBM akan mempunyai tambahan 32 katil untuk menampung rawatan pesakit Covid-19.
“Selepas perancangan dengan pihak HBM, hari ini kerja-kerja pembinaan bermula.
“Dengan pembinaan baru ini, HBM akan mempunyai tambahan 32 katil. Peningkatan kapasiti ini juga membolehkan kes-kes Covid-19 yang serius mendapat rawatan awal di sini sementara menunggu ICU di Hospital Pulau Pinang.
“Kami akan berusaha sepenuhnya mengurangkan kes kematian! Terima kasih Yayasan Lee Chong Wei yang menyumbang penuh kos projek sebanyak RM243,000,” katanya. – Malaysiapost

