Perlu ada dasar, strategi khusus kenalpasti ‘long Covid’ – Tok Mat

0
2
Datuk Seri Mohamad Hasan

MALAYSIA sewajarnya mempunyai dasar dan strategi khusus bagi mengenalpasti, menyelidik dan memulih kesan jangka panjang Covid-19 atau ‘Long Covid’ terhadap pengidapnya.

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, lebih dua juta rakyat negara ini telah dijangkiti Covid-19 dan peratusan yang mempunyai ‘Long Covid’ juga mungkin akan semakin ramai.

Katanya, pemulihan kesihatan bagi golongan pesakit tersebut adalah sangat penting kepada kualiti kesihatan awam secara meyeluruh.

“Saya menyarankan agar kerajaan mula memberi perhatian kepada kes Long Covid ini secara terpadu.

“Dasar kita menanggani pandemik ini tidak boleh terhenti dari segi pencegahan dan rawatan. Ia mesti juga merangkumi rawatan jangka masa panjang terhadap bekas pesakit serta pelbagai penyelidikan berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad berkata, kefahaman mengenai dampak vaksinasi, kaedah rawatan dan pemulihan yang berkesan serta pelaburan untuk penyelidikan berkaitan harus diberikan keutamaan.

Tambah beliau, dunia perubatan akan terus terbeban dengan pelbagai cabaran baru kerana pandemik, justeru pelaburan kesihatan tidak boleh lagi pada kadar empat peratus GDP.

“Telah tiba masanya kita menyasarkan peruntukan tujuh ke lapan peratus GDP negara untuk sektor kesihatan.

“Langkah ini adalah permulaan yang baik untuk reformasi besar-besaran sektor perubatan dan kesihatan setelah tekanan luar biasa terhadap sistem perubatan kita sejak Feb 2020,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau berkata, kerajaan belum mengemukakan data terperinci berkaitan masalah kesan jangka panjang Covid-19.

Bagaimanapun, katanya, beberapa universiti tempatan telah mula menjalankan kajian mengenainya.

“Lancet, jurnal perubatan paling berwibawa dalam terbitannya pada 28 August 2021 menyatakan bahawa Long Covid adalah cabaran yang besar terhadap sektor perubatan.

“Banyak yang masih tidak diketahui tentangnya. Justeru pelbagai penyelidikan rentas disiplin sangat perlu untuk membolehkan rawatan terbaik diberikan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here