Pembukaan sekolah: JPN perlu faham, jelas pendekatan KPM

0
2

SEMUA Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) perlu memahami dengan jelas pendekatan Kementerian Pendidikan (KPM) serta tatacara pengoperasian sekolah yang telah ditetapkan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata ini termasuklah perkara berkaitan penggiliran murid, garis panduan pengoperasian, kehadiran murid, pengurusan prasarana, pengawalan dan penyuraian murid serta pelanjutan sesi persekolahan 2021.

“Maklumat perlu disampaikan kepada guru, ibu bapa dan murid melalui jaringan perhubungan KPM, JPN, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), pengetua dan guru besar, guru, ibu bapa serta penjaga dan murid.

“Kerjasama semua pihak amat penting dalam memastikan sesi pembelajaran bersemuka yang akan dilaksanakan secara berperingkat berdasarkan keberadaan sesebuah negeri dalam Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) dapat dilaksanakan dengan teratur dan selamat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya.

Terdahulu beliau mengadakan sesi libat urus bersama JPN bagi memperjelas serta memperincikan lagi perkara berkaitan pengoperasian pembukaan sekolah secara berperingkat mengikut fasa PPN.

Pada 12 September lalu, Radzi mengumumkan KPM akan melaksanakan sistem penggiliran bagi kehadiran murid ke sekolah semasa sesi persekolahan dibuka mulai 3 Oktober depan.

Katanya, sistem penggiliran tersebut melibatkan hanya 50 peratus daripada enrolmen keseluruhan.

Radzi berkata, dalam sistem penggiliran yang akan dilaksanakan, kumpulan yang gilirannya tidak perlu hadir ke sekolah akan menjalani sesi PdPR. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here