DAP jamin jayakan MoU dengan kerajaan – Kit Siang

0
1

DAP dan Pakatan Harapan (PH) akan melakukan yang terbaik untuk menjayakan memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani antara kerajaan dan PH, kata veteran DAP, Lim Kit Siang.

Kata Kit Siang, jaminan itu diberikan walaupun tiada jaminan bahawa ia akan berjaya membawa Malaysia ke suatu landskap politik baru.

Katanya, memorandum reformasi-perbekalan-kepercayaan (CSR) itu telah menimbulkan pelbagai reaksi, antaranya ia akan memberi harapan bahawa negara sedang bergerak ke arah pemulihan pandemik yang lancar.

“MOU CSR ini juga telah menimbulkan kebimbangan bahawa ia akan menjadi tanda berakhirnya era pembangkang di Parlimen. Tidak dapat disangkal, MOU CSR boleh menemui jalan buntu kerana ia bergantung kepada tawaran dan persetujuan kedua-dua belah pihak.

“DAP dan PH akan melakukan yang terbaik untuk menghormati janji termaktub dalam MOU CSR kerana kita tidak boleh membiarkan wabak Covid-19 terus berlanjutan dengan meninggalkan kerosakan terhadap kehidupan dan mata pencarian rakyat,” katanya hari ini.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, kes kematian akibat Covid-19 yang terus tinggi begitu juga kadar kes baharu, antara sebab mengapa gencatan senjata politik mesti dilaksanakan dalam tempoh 10 hingga 18 bulan dari sekarang.

Katanya, ia bertujuan untuk menyatukan rakyat supaya mereka dapat memberikan tumpuan tidak berbelah dalam usaha memenangi perang melawan wabak Covid-19 dan mengatasi kesan ditimbulkan oleh wabak tersebut.

“Kita tidak mahu Malaysia berakhir sebagai negara kleptokrasi, kakistokrasi dan gagal.

“MOU CSR tidak bermaksud tiada lagi blok pembangkang di Parlimen kerana Ahli Parlimen DAP dan PH akan terus bersuara dan mengangkat agenda keadilan, kebebasan, kemajuan dan perpaduan seperti biasa yang kami lalukan selama ini,” katanya.

Beliau juga berharap Warisan, Pejuang dan Muda menyokong dan menandatangani MOU CSR dengan Perdana Menteri untuk masa depan yang lebih baik bagi semua rakyat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here