TIADA kompaun dikeluarkan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) sempena pembukaan projek perintis gelembung pelancongan di Pulau Langkawi setakat ini.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata sehingga tengah hari tadi, polis tidak mengeluarkan sebarang kompaun kepada pelancong.
“Pemantauan mendapati pelancong individu dan berkumpulan di sekitar pulau ini mematuhi SOP seperti digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Sama seperti semalam, hari ini pemantauan dilakukan di 22 lokasi iaitu sembilan pusat beli-belah, diikuti 10 tempat rekreasi dan pintu masuk utama,” katanya memetik Harian Metro.
Shariman berkata, operasi pemantauan SOP itu disertai 60 anggota polis yang bertugas secara bergilir dalam usaha memastikan program perintis gelembung pelancongan tidak tercalar dengan kes positif baharu Covid-19.
“Kita harap angka kosong kompaun yang dicatat sejak hari pertama semalam akan berterusan, sekali gus menunjukkan masyarakat kini mementingkan keselamatan dan kesihatan ketika bercuti,” katanya.
Tambah beliau, semua pelancong, pemilik premis perniagaan dan pengusaha produk pelancongan dinasihatkan terus mematuhi SOP ditetapkan untuk mengelak penularan Covid-19 di pulau itu.
“Kerjasama setiap pelancong penting dalam memastikan projek perintis gelembung pelancongan di Langkawi, juga projek negara yang bermula semalam mencapai kejayaan,” katanya. – Malaysiapost

