Masjid Putra terima 500 jemaah solat Jumaat hari ini

0
2

MASJID Putra di Putrajaya hari ini menerima 500 jemaah untuk solat Jumaat berbanding 300 individu sebelum ini.

Difahamkan, pintu masuk utama masjid itu ditutup pada jam 12.40 tengah hari selepas cukup 500 jemaah yang ditetapkan.

Pengurusan Masjid Putra menerusi kenyataan di Facebooknya hari ini memaklumkan pintu utama akan dibuka mulai jam 11.45 pagi dan ditutup setelah kuota 500 orang jemaah telah dipenuhi.

Semalam Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengeluarkan ketetapan baharu berhubung had jemaah solat Jumaat, fardu dan aktiviti keagamaan di masjid dan surau berkuat kuasa esok.

Pengarahnya, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata ketetapan baharu ini dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong serta selaras pengumuman kerajaan berkaitan Peralihan Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Katanya, bagi solat Jumaat di kawasan PPN Fasa Dua melibatkan Kuala Lumpur dan Putrajaya, pihaknya menetapkan bilangan jemaah di Masjid Wilayah Persekutuan dibenarkan seramai 500 orang.

Minggu lalu, tular satu video di media sosial memaparkan sebilangan jemaah tidak berpuas hati terhadap pengurusan Masjid Putra yang didakwa memberi layanan berbeza kepada mereka sesama ingin menunaikan solat Jumaat.

Justeru, pihak pentadbiran masjid telah memohon maaf dan menjelaskan tiada isu layanan dua darjat sebaliknya mereka mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang memperuntukkan 300 kuota untuk kehadiran berjemaah untuk solat Jumaat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here