PARTI Warisan Sabah (Warisan) menggesa kerajaan menyelesaikan segera masalah ketidakpadanan dalam pasaran kerja agar tidak membantutkan usaha pemulihan ekonomi negara.
Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, menerusi data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada bulan Julai 2021, seramai 778,200 orang penduduk Malaysia telah hilang pekerjaan atau masih menganggur, meningkat 4.8 peratus dari bulan sebelumnya.
“Kadar pengganguran pada bulan Julai 2021 adalah yang tertinggi untuk tahun ini. Walaupun Kerajaan telah memperuntukkan RM530 billion dalam lapan Pakej Ransangan Ekonomi sebelum ini, namun kadar pengangguran terus meningkat tanpa penyelesaian yang jitu.
“Jadi, Warisan berpendirian, isu pekerjaan bawah kelayakan (underemployment) wajar diberi perhatian segera. Malah, pada tahun 2020, direkodkan jumlah siswazah yang bersedia untuk masuk ke pasaran kerja adalah seramai 260,701 orang. Namun, jumlah pekerjaan mengikut kelayakan yang tersedia untuk siswazah dalam negara pada tahun 2020 ini hanya 73,000 pekerjaan, merosot 31,000 dari tahun sebelumnya.
“Ini menyebabkan ramai antara siswazah ini mendapatkan pekerjaan di bawah daripada kelayakan yang mereka perolehi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, disebabkan situasi itu, siswazah-siswazah ini akan berebut mendapatkan pekerjaan melebihi daripada kelayakan.
“Sebagai contohnya pekerjaan yang dikhaskan untuk lepasan SPM atau Diploma, juga direbut bersama lepasan ijazah, situasi ini sekaligus menyebabkan golongan lepasan SPM dan Diploma terpaksa bersaing dengan lepasan ijazah untuk mendapatkan pekerjaan.
“Impak pekerjaan bawah kelayakan ini adalah besar memandangkan ia menyentuh kebolehpasaran golongan B40 yang berpendidikan sederhana dan rendah untuk mendapatkan pekerjaan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sebanyak 1.89 juta lepasan siswazah bekerja dalam sektor separa mahir dan tanpa kemahiran, pada tahun lepas.
“Ini merangkumi 37.4% jumlah pekerja yang mempunyai kelayakan lepasan ijazah. Ini juga bermakna pada tahun 2020 sebanyak 1.89 juta pekerjaan yang sepatutnya dikhaskan untuk lepasan SPM dan Diploma telah diisi oleh pekerja siswazah yang bekerja di bawah kelayakan.
“Situasi ini menunjukkan terdapat jurang ketidakpadanan (mismatching) yang besar dalam pasaran kerja di negara ini,” katanya.
Tambahnya, kajian juga menunjukkan bahawa “underemployment’ ini membawa kepada jurang kemiskinan lebih besar kepada golongan berpendapatan rendah B40.
” Mereka hilang pekerjaan di mana pekerjaan mereka diambil oleh siswazah lepasan univerisiti dan boleh menyebabkan mereka jatuh dalam golongan “urban poor”.
“Ia turut memberikan implikasi yang sama kepada golongan berpendapatan sederhana, M40 yang berumur antara 45-60 tahun. Kehilangan pekerjaan boleh menyebabkan lebih ramai golongan M40 jatuh dalam braket pendapatan B40 dan ini seharusnya dikekang,” katanya.
Oleh demikan, beliau menyarankan kerajaan untuk mempergiatkan usaha mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bagi siswazah lepasan univeristi.
Jelasnya, ini bagi memberikan ekuiti seimbang dalam pasaran kerja negara terutamanya untuk berlaku adil kepada golongan B40 berkelayakan sederhana dan rendah.
“Bagi tujuan ini, adalah dicadangkan Kerajaan mengutamakan ekonomi gig dan keusahawanan bagi lepasan siswazah yang mencari pekerjaan.
“Di samping itu, perjawatan secara kontrak dengan agensi Kerajaan dan syarikat berkepentingan Kerajaan boleh ditawarkan kepada mereka. Ini merupakan langkah yang efektif untuk membolehkan mereka mengharungi kehidupan di kala pandemik.
“Dan seharusnya isu ketidakpadanan (mismatch) dalam pasaran kerja negara perlu diatasi segera agar ia tidak membantutkan usaha pemulihan ekonomi negara yang sedang berjalan,” katanya. -Malaysiapost

