INDIVIDU memohon MyTravelPass bagi perjalanan masuk dan keluar negara diingatkan membuat permohonan
14 hari sebelum hari jangkaan untuk berlepas.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata permohonan tersebut perlu dibuat menerusi laman sesawang https://mtp.imi.gov.my.
Katanya, dari 7 Oktober 2020 hingga 10 September lalu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerima sebanyak 356,510 permohonan melalui MyTravelPass.
“Daripada jumlah berkenaan, 208,509 telah diluluskan; 127,465 telah ditolak; 6,697 dibatalkan sendiri oleh pemohon; dan 13,000 permohonan sedang diproses oleh tiga petugas khas.
“Berdasarkan makluman daripada JIM, terdapat empat faktor boleh menyebabkan permohonan ditolak iaitu nama berada dalam senarai syak oleh JIM; dokumen tidak lengkap; dokumen dimuatnaik tidak boleh dibaca; dan dokumen dipalsukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hishammuddin berkata, terdapat juga isu beberapa syarikat penerbangan yang meletakkan syarat supaya penumpang menunjukkan MyTravelPass walaupun mereka berada dalam kategori yang tidak perlu membuat permohonan.
“Ingin saya tegaskan bahawa syarikat berkenaan tidak sepatutnya berbuat sedemikian. Saya telah minta Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong memaklumkan kepada syarikat berkenaan agar mengikut garis panduan telah ditetapkan,” katanya.
Sementara itu, Hishammuddin berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah meminta JIM supaya mengkaji semula kategori-kategori permohonan yang boleh diberi kebenaran terus tanpa perlu memohon kelulusan melalui MyTravelPass.
Kategori yang perlu dan tidak perlu memohon kelulusan melalui mytravelpass adalah seperti berikut:
i. Warganegara yang baru mendapat tawaran bekerja atau belajar di luar negara.
ii. Pelajar yang ingin menduduki peperiksaan di luar negara.
iii. Menghadiri mesyuarat / seminar / urusan perniagaan di luar negara.
iv. Menyertai pameran / pertandingan sukan / latihan di luar negara dengan mengemukakan surat sokongan daripada Agensi kawal selia.
v. Urusan kecemasan ahli keluarga terdekat (kematian / ahli keluarga ditimpa kemalangan / sakit).
vi. Pemegang Visa Pasangan / Tunangan (perkahwinan yang tidak didaftarkan secara sah).
vii. Menyertai misi bantuan kemanusiaan / keagamaan dengan mengemukakan surat kelulusan yang telah diperoleh daripada Jawatankuasa Bersama JPM serta dokumen sokongan lain yang berkaitan.
Tidak perlu :
i. Diplomat dan pegawai Kedutaan Malaysia yang akan / kembali bertugas di luar negara termasuk tanggungan masing-masing.
ii. Pelajar dan tanggungan yang meneruskan pengajian dengan syarat memiliki visa pelajar atau visa tanggungan yang sah.
iii. Pemegang Pas Jangka Panjang di luar Negara (Pemastautin Tetap / Pas Residen / Pas Kerja dan lain-lain)
iv. Bekerja dengan syarikat petroleum dan syarikat perkapalan yang perlu sign-on ke atas kapal di luar negara.
v. Mengiringi pelajar ke luar negara bagi tujuan belajar dan terhad kepada dua pengiring sahaja. Pengiring perlu melakukan perjalanan keluar bersama-sama pelajar pada masa yang sama.-Malaysiapost

