KUMPULAN pertama pelancong ke Pulau Langkawi yang dibuka semula untuk pelancongan, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi kira-kira jam 10.45 pagi tadi.
Kumpulan pelancong terbabit tiba dengan pesawat MH1432 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan disambut oleh Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri.
Ketibaan pesawat itu turut disambut dengan pancuran air dari dua jentera bomba lapangan terbang sebagai tanda ucapan ‘selamat datang’ ke pulau legenda tersebut.
Mulai hari ini, Pulau Langkawi dibuka semula menerusi projek perintis gelembung pelancongan Langkawi.
Sebelum ini Lembaga Pembangunan Langkawi menjangka sekitar 400,000 pelancong mengunjungi Langkawi dalam tempoh kira-kira tiga setengah bulan bermula hari ini sehingga Disember dengan hasil sekitar RM165 juta.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sebelum ini memaklumkan setiap pelancong yang ingin bercuti di Langkawi diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum memulakan perjalanan.

Terdahulu, Nancy ketika melancarkan Inisiatif Pelancongan Sempena Pembukaan Semula Pulau Langkawi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC), berharap pembukaan semula pulau itu akan memulihkan semula Langkawi dalam segenap aspek.
“Saya mendoakan semua pihak termasuk pemain industri pelancongan di Langkawi terus bersatu-padu untuk memulihkan semula Langkawi dalam semua aspek, khususnya dari segi kesihatan awam, sosio-ekonomi dan sektor pelancongan.
“Tujuan kita buka semula sektor pelancongan di Langkawi kerana sedar ramai yang terjejas dari segi pekerjaan, insya-Allah kita harapkan dengan pembukaan semula ini mereka dapat bekerja semula dalam industri pelancongan,” katanya. – Malaysiapost

