Mangsa samun terima iPhone dari Ebit Lew

0
3

REMAJA perempuan yang terpaksa dipotong tangan kanan hingga paras bahu selepas cedera akibat disamun baru-baru ini, menerima sumbangan telefon pintar bagi membolehkannya terus berniaga secara dalam talian.

Siti Nur Azizah, 17, menerima sumbangan iPhone daripada pendakwah terkenal Ebit Lew yang sayu mengenangkan nasib dialami remaja terbabit.

“Sebak sayu sangat rasa ziarah adik Siti Nur Azizah yang disamun ketika kerja jual online dan menghantar barang dengan motosikal. Cedera parah sehingga tangan kanan kena dipotong sehingga bahu. Motornya dicuri.

“Saya hadiahkan iPhone dan sedikit wang tunai buat adik ni dan maknya. Adik ni baik sangat. Dia tiada telefon untuk buat online berniaga di Instagram,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, bapa Nur Azizah sudah meninggal dunia tiga tahun lalu dan remaja berkenaan mula berniaga secara dalam talian demi membantu keluarga.

“Semenjak ayahnya meninggal dunia, Nur Azizah kerja berniaga secara dalam talian, ‘live bundle’ dari tiga tahun lalu. Tak sekolah kerana hendak bantu keluarga.

“Syukur ada ramai juga yang membantu. Saya bersama ketua blok dan jiran-jiran tadi ziarah adik ni. Saya kongsi doa dan amalan saat diuji. Semoga Allah rahmati keluarga adik Nur Azizah. Ya Allah jagakanlah keluarga ini,” katanya.

Dalam kejadian pada 26 Ogos lalu, Siti Nur Azizah menaiki motosikal bersama teman lelakinya cedera selepas dipercayai diserang serta disamun tiga lelaki di Jalan Kuching menghala ke Jinjang dalam kejadian jam 12.15 tengah malam.

Suspek melibas mangsa dengan rantai motosikal pada belakang topi keledar dipakai mangsa dan kemudiannya menghimpitnya lalu menendang motosikalnya hingga terbabas ke pembahagi jalan sebelum melarikan motosikal. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here