SEORANG ibu bersama bayi berusia lapan bulan serta kanak-kanak lima tahun disahkan maut dalam kejadian tanah runtuh di Forest Hill, Bundusan, Penampang, Sabah petang tadi.
Tiga lagi individu dilaporkan selamat dalam kejadian sama dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 2 untuk menerima rawatan lanjut.
Difahamkan, ibu dan bayi berusia lapan bulan bersama seorang lagi kanak-kanak lima tahun ditemui meninggal dunia di lokasi kejadian.
Memetik laporan Sinar Harian setakat jam 8.40 malam, mayat mangsa sudah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Dua mangsa yang maut dikenalpasti sebagai Salmah Hamid, 25, dan Rosatima Asbirin, 5, yang meninggal dunia di lokasi kejadian.
Terdahulu Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Misran Bisara berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.57 petang berhubung kejadian itu.
“Kejadian membabitkan enam mangsa akibat tanah runtuh dan mendapati dua mangsa maut di lokasi kejadian selepas disahkan oleh pegawai perubatan,” katanya. – Malaysiapost

