Kerajaan komited bentang RUU Anti-Lompat di Parlimen – PM

0
3

KERAJAAN komited melaksanakan Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan termasuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti-Lompat di Parlimen.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, komitmen itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak Covid-19.

“Transformasi kerajaan ini memaktubkan nilai-nilai murni dan muafakat merentasi pelbagai latar agama, kaum dan budaya dalam konteks keluarga Malaysia.

“Transformasi ini termasuklah komitmen kerajaan untuk membentangkan RUU Anti-Lompat di Parlimen,” katanya hari ini.

Beliau berkata sedemikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Ismail Sabri berkata, kerajaan sentiasa komited dalam memastikan kestabilan negara menjadi agenda utama ke arah pemulihan negara memerangi pandemik Covid-19 serta memulihkan ekonomi.

Jelasnya, ia termasuk usaha menyelesaikan kemelut politik melalui prinsip kebersamaan antara parti kerajaan dan pembangkang dalam memastikan kestabilan politik di Malaysia dapat ditangani dengan lebih baik.

“Pelaksanaan transformasi ini juga selaras dengan titah nasihat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Rja-Raja Mulia tentang peri pentingnya sebuah pentadbiran yang stabil dan dapat berfungsi secara biasa dalam keadaan negara menghadapi pelbagai krisis,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, adalah menjadi hasrat kerajaan untuk memastikan prinsip kebersamaan akan terus diamalkan agar dapat melindungi hak rakyat negara ini yang telah memberi kepercayaan tinggi kepada Ahli-ahli Parlimen.

Katanya, kerajaan juga akan memastikan sistem demokrasi berparlimen sentiasa disanjung tinggi agar kepentingan rakyat dan negara sebagai satu ‘Keluarga Malaysia’ dapat diutamakan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here