Pembangunan Kampong Bharu berfasa hingga 2040

0
2
Pengerusi Kelab Penyokong Ahli Parlimen PN, Datuk Seri Shahidan Kassim

[Parlimen] PEMBANGUNAN Kampong Bharu sedang diteruskan melalui pendekatan baru iaitu pembangunan secara organik dan berfasa mengikut blok pembangunan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata pendekatan itu mempunyai kebolehlaksanaan yang tinggi dan buat masa ini 44 blok pembangunan telah pun dikenal pasti.

Ahli Parlimen Arau itu berkata, menerusi pendekatan berkenaan, kerajaan tidak akan terlibat dalam pembelian tanah secara keseluruhan.

“Sebaliknya, pembangunan Kampong Bharu adalah secara usaha sama antara pemaju dan pemilik tanah atau petak, mengikut blok-blok pembangunan tersebut,” katanya.

Beliau menjawab soalan lisan ditanyakan Khalid Abd Samad (PH-Shah Alam) dan Ahli Parlimen Lumut Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli (PH-Lumut) berkaitan cadangan pembangunan Kampong Bharu.

Menurutnya, peruntukan Kerajaan juga hanya akan digunakan bagi pembangunan infrastruktur melalui penaiktarafan jalan-jalan utama Kampong Bharu dan akses keluar masuk yang menjadi pemangkin kepada pembangunan semula kawasan berkenaan.

“Nilai hartanah yang ditawarkan kepada pemilik tanah bergantung kepada mekanisme pembangunan yang akan dilaksanakan mengikut kesesuaian pembangunan.

“Pendekatan baru ini dilaksanakan dalam tiga tempoh fasa pembangunan iaitu jangka pendek (2021-2025), jangka sederhana (2025-2034) dan jangka panjang (2021-2040),” katanya.

Menurutnya, pembangunan jangka pendek membabitkan pembangunan semula kawasan Sungai Baru dan pembangunan semula kawasan Flat PKNS Jalan Tun Razak; pelebaran dan menaiktaraf Jalan Raja Uda Kampong Bharu.

“Selain itu adalah cadangan sambungan DUKE 2A dari Jalan Kuching ke Kampong Bharu di Jalan Raja Muda Abdul Aziz; cadangan pembinaan akses keluar masuk lebuhraya AKLEH di Sungai Baru; dan pembangunan tapak klinik kesihatan dengan pembangunan yang lebih ekonomik.

“Jangka sederhana pula ditumpukan kepada pembangunan kediaman yang kompetitif di Kampong Periok dan pembangunan blok yang berpotensi di Kampong Pindah.

“Manakala jangka panjang melibatkan tempoh masa 20 tahun, bagi mempromosikan dan membangunkan blok-blok pembangunan yang berpotensi dari semasa ke semasa bergantung kepada kesediaan pemaju,” katanya.

Shahidan berkata, mengenai peruntukan pembangunan, Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu melalui Kementeriannya telah membuat permohonan peruntukan di bawah Rolling Plan Kedua (RP2) RMKe-12 sebanyak RM148 juta dan masih menunggu kelulusan pihak EPU.

“Peruntukan itu membabitkan permohonan perolehan tanah Kampong Pindah sebanyak RM100 juta (premium tanah); dan permohonan peruntukan RM48 juta untuk pengambilan tanah bagi pelebaran dan menaiktaraf Jalan Raja Uda, Kampong Bharu, Kuala Lumpur,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here