Ancaman pengganas: Tiada kebimbangan di Malaysia – Hishammuddin

0
3

KEMENTERIAN Pertahanan mengesahkan amaran dikeluarkan kepada warganegara Jepun di Malaysia mengenai kemungkinan ancaman pengganas di rantau ini, sebagai tidak berasas.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata ia berdasarkan taklimat oleh Perisikan Tentera (MIO) dan laporan oleh Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

“Ia (amaran dikeluarkan) bersandarkan satu platform di media sosial. IGP (Ketua Polis Negara) telah buat kebyataan pagi tadi, ia tiada asas langsung berkait dengan pengganas,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Hishammuddin berkata beliau bagaimanapun akan mendapatkan maklumat daripada Wisma Putra berhubung asas sebenar amaran dikeluarkan Jepun.

“Saya akan tanya Wisma Putra apa sebab Jepun keluarkan kenyataan tersebut.

“Tapi dari segi ancaman sebenar, MIO dan IGP maklumkan ia tak perlu dibimbangkan di Malaysia,” katanya.

Semalam menurut laporan media, Kementerian Luar Jepun telah menasihatkan semua rakyatnya di Indonesia, Filipina, Singapura, Malaysia, Thailand dan Myanmar untuk mengelak berada berdekatan dengan kemudahan keagamaan dan kawasan sesak.

Amaran itu memetik laporan perisikan dan kemungkinan terdapat serangan ke atas rumah ibadat dan tempat perhimpunan besar-besaran di rantau ini.

Bernama melaporkan, seorang pegawai dari kedutaan Jepun di Kuala Lumpur ketika dihubungi mengesahkan amaran telah dikeluarkan kepada warganegara Jepun di Malaysia mengenai kemungkinan ancaman pengganas di rantau ini.

“Kami mengeluarkan nasihat tersebut selepas menerima arahan dari Tokyo,” katanya tanpa memperincikan lebih lanjut mengenai hal itu.

Pegawai itu berkata buat masa ini terdapat kira-kira 31,000 warga Jepun tinggal di Malaysia. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here