Titah Agong panduan Ahli Parlimen kekal fokus agenda Pemulihan Negara – PAS

0
2

PAS menyifatkan titah Yang di-Pertuan Agong ketika Istiadat perasmian Parlimen hari ini, sebagai panduan kepada semua Ahli Parlimen supaya kekal fokus kepada agenda pemulihan negara. 

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS menjunjung kasih titah Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Titah yang jelas dan tegas itu merupakan satu panduan kepada semua Ahli Parlimen supaya kekal fokus kepada agenda pemulihan negara dan segera membawa rakyat keluar daripada pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tugas berat tersebut mesti dipikul bersama dalam kerangka demokrasi, syura dan semangat Keluarga Malaysia. 

“PAS turut menghargai penghargaan baginda terhadap perkembangan positif daripada pelbagai usaha kerajaan seperti Pelan Pemulihan Negara (PPN), Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan siri-siri pakej rangsangan ekonomi yang bernilai RM530 bilion. 

“PAS yakin masih banyak ruang penambahbaikan yang perlu difokuskan untuk memberdaya negara ke arah kejayaan yang lebih besar,” katanya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, PAS akan terus menyuarakan hasrat dan kemahuan rakyat selain memastikan agenda penting seperti Rancangan Malaysia ke-12 dibahas secara konstruktif demi mencapai matlamat ke arah Malaysia yang makmur, inklusif dan mampan. 

“PAS juga akan memastikan semua ahli Yang Berhormat sentiasa menyantuni dan empati terhadap nasib rakyat di lapangan. 

“Semua kemudahan dan bantuan kerajaan akan dimanfaatkan secara optimum untuk membantu rakyat tanpa mengira anutan agama, kaum dan fahaman politik. Insya-Allah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here