Apa motif dakwa Guan Eng ketika PRN Sabah? – Mohamad Sabu

0
3

Nurul Huda Abhar

PENDAKWAAN Lim Guan Eng ketika musim Pilihan Raya Negeri (PRN) didakwa sebagai sabotaj menghalang aktiviti kempen beliau bersama DAP di Sabah.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata, setiap individu yang mempunyai pertuduhan di mahkamah akan didakwa, tetapi bagi kes Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP ini berbeza.

“Sesiapa sahaja boleh didakwa di mahkamah jika terdapat bukti terlibat dengan gejala tersebut.

“Namun dalam kes Lim Guan Eng, adakah pendakwaan ketika musim pilihan raya ini satu usaha untuk menghalang beliau mengetuai kempen pilihan raya DAP di Sabah?,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga menekankan kembali perjuangan kerajaan Pakatan Harapan (PH), antaranya menghapuskan gejala rasuah.

“Memerangi rasuah adalah agenda utama PH dan Index Persepsi Rasuah (CPI) meningkat mendadak di bawah pemerintahan PH dari kedudukan ke-61 kepada 51 negara paling tidak rasuah,” katanya lagi.

Guan Eng yang juga Bekas Menteri Kewangan menghadapi dua pertuduhan baharu berkaitan penyalahgunaan harta di Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini. – Malaysiapost