
PENGUNDIAN bagi jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, yang dikosongkan oleh Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said, akan diadakan esok.
Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata Mesyuarat Parlimen Ke-14, hari ini hanya mempunyai satu urusan mesyuarat iaitu Titah pembukaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Majlis Mesyuarat Parlimen ke-14, hari ini. Hanya satu urusan mesyuarat iaitu Titah Yang di-Pertuan Agong.
“Pengundian jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat akan diadakan Selasa,” katanya dalam satu hantaran Facebook, hari ini.
Ahmad yang juga Setiausaha Agung Umno, berkata sejak menjadi Ahli Parlimen dari 2008, beliau pernah berada sama ada di pihak kerajaan dan juga pembangkang serta kerap berbahas.
“Ahli Parlimen kenal saya. Sejak 2008 pernah berada di kiri, kanan, belakang Dewan dan kerap berbahas,” katanya.
Umno sebelum ini dilaporkan mencalonkan Ahmad sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat pada persidangan kali ini bagi mengisi kuota Umno yang kosong selepas penyandangnya Azalina meletakkan jawatan.
Sementra itu, Timbalan Setiausaha Agung DAP, Nga Kor Ming pula dicalonkan oleh Pakatan Harapan (PH) untuk mengisi kekosongan jawatan berkenaan. – Malaysiapost
