
VETERAN Umno, Tan Sri Shahrir Samad menggesa kerajaan untuk terus menyediakan bakul makanan khususnya kepada pesakit Covid-19 yang menjalani kuarantin kendiri di rumah.
Beliau berkata, data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan lebih 80 peratus pesakit Covid-19 tahap satu diarahkan untuk menjalani kuarantin di rumah masing-masing.
Katanya, golongan itu memerlukan bantuan masyarakat setempat untuk menyalurkan bantuan barangan makanan kerana mereka tidak boleh keluar sepanjang tempoh kuarantin berkenaan.
“Jumlah 80 peratus itu tinggi. Di Johor Bahru, setiap hari pemimpin masyarakat mendapat panggilan tentang golongan berkuarantin di rumah yang perlukan bantuan.
“Bukan semua mereka bergaji tetap ataupun mempunyai sanak saudara yang boleh membantu. Mereka mengharapkan bantuan dari jiran atau masyarakat. Dan jenis bantuan bukan sahaja barang makanan. Adanya juga keperluan wang tunai,” katanya menerusi Facebook.
Ketua Umno Bahagian Johor Bahru itu berkata, kerajaan tidak perlu membelanjakan apa-apa untuk pesakit kategori.
“Kecuali apabila petugas KKM menghubungi pesakit kategori ini untuk mengetahui samada mereka mempunyai gejala yang menunjukkan keadaan kesihatan yang merosot.
“Kalau merosot, mereka mungkin sudah beralih ke Peringkat Kedua Covid-19 dan perlu ditempatkan di pusat kuarantin KKM,” katanya.
Shahrir berkata, di peringkat komuniti memang adanya petugas yang bersedia bantu mengantar bantuan itu.
“Hanya bakul makanan dan sistem gobok makanan badan masyarakat dan NGO perlu kepada bantuan kerajaan dan penderma.
“Harapan kami di JB ialah supaya sistem penyediaan bakul makanan oleh kerajaan, NGO dan penderma individu akan berterusan.
“Sambil kami sediakan petugas untuk menyampaikan bantuan ini kepada golongan berkuarantin di rumah,” katanya. – Malaysiapost
