Agong titah amalkan demokrasi bermusyawarah

0
3
YDP Agong

KERAJAAN perlu melipat gandakan usaha untuk memerangi pandemik Covid-19 dan membawa rakyat keluar daripada ancaman pandemik berkenaan, titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Baginda menitahkannya supaya dilaksanakan menerusi amalan budaya kerja berprestasi tinggi serta tumpuan untuk mencapai sasaran jangka pendek dan panjang.

Yang di-Pertuan Agong, menzahirkan keyakinan kerajaan yang baru dibentuk ini mampu membuktikan pencapaian awalnya dalam tempoh 100 hari pertama.

“Melangkah ke hadapan Beta ingin menasihatkan kepada semua pihak untuk mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan.

“Justeru, Beta menyambut baik keterbukaan kerajaan dengan memberi peluang kepada pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen untuk melibatkan diri dalam tadbir urus negara.

“Beta turut menyambut baik dan amat menghargai usaha ke arah merealisasikan pendekatan baharu kerjasama dwi-partisan antara semua pihak yang bakal membentuk lanskap politik baharu dan membawa perubahan dalam sistem pentadbiran negara,” titahnya.

Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Majlis Parlimen ke-14, 2021 hari ini. Titah Baginda lagi, kematangan seperti itulah yang didambakan oleh seluruh rakyat.

“Ambillah nasihat pepatah Melayu lama yang berbunyi ‘biduk lalu, kiambang bertaut’.

Sesungguhnya yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua.

“Hanya menerusi perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan yang erat bagaikan sebuah ‘Keluarga Malaysia’ sahajalah kita akan dapat mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan yang bakal ditempuh,” titah Baginda.

Terdahulu, sebelum memulakan titah, Yang di-Pertuan Agong mengajak Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta seluruh rakyat, bertafakur seketika dan membaca surah al-Fatihah bagi yang beragama Islam untuk memperingati rakyat Malaysia yang meninggal dunia akibat pandemik Covid-19.

Baginda turut menzahirkan rasa syukur kerana persidangan dapat dijalankan walaupun negara masih berhadapan pandemik Covid-19 dan istiadat hari ini jelas membuktikan amalan demokrasi berparlimen masih lagi subur berakar di negara tercinta ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here