Harga ayam di Raub RM11 sekilogram – KPDNHEP

0
3

HARGA purata ayam bersih standard di Semenanjung adalah RM8.78/kg dan julat harga jualan antara RM5.99/kg hingga RM11.00/kg.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata ia berdasarkan pemantauan harga runcit pada 10 September lalu yang mendapati harga purata ayam bersih standard peringkat nasional adalah RM8.83/kg.

“Berdasarkan pemerhatian, premis yang menjual pada harga tinggi melebihi RM9/kg terdiri daripada pasar basah dan awam.

“Harga paling tinggi adalah RM11/kg dijual di Pasar Besar Raub, Pahang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, Alexander berkata pasar raya dan hypermarket masih menawarkan ayam bersih standard pada harga berpatutan.

Katanya, premis yang menjual pada harga paling rendah iaitu RM5.99/kg adalah Pasaraya Tesco/Lotus di seluruh negara, selain pasar raya Giant, Mydin dan Econsave masih menawarkan ayam pada harga RM7.39-RM7.99/kg.

“Pengguna dinasihatkan untuk bijak dalam memilih tempat dan masa untuk membeli ayam pada harga patut,” katanya.

Beliau berkata, di Sabah, harga purata ayam bersih standard adalah RM11.33/kg dengan harga paling tinggi adalah RM11.80/kg dijual di Gentingmas Mall, Sandakan manakala paling rendah RM10.90/kg di Pasar Basah Sibuga, Batu 8 di Sandakan.

Di Sarawak pula, katanya, harga purata ayam bersih standard adalah RM8.56/kg yang mana harga paling tinggi adalah RM9.80/kg dijual di Central Market, Sarikei manakana paling rendah RM7.50/kg di Everwin Supermarket Mukah.

Katanya lagi, menerusi pelbagai operasi penguatkuasaan dijalankan, pihaknya telah mengeluarkan 208 notis bertulis kepada peniaga, lima item dikesan mencatut dan dua kertas siasatan dibuka bagi siasatan lanjut di bawah S.14 (1), Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) dan satu lagi kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 21(5), AKHAP 2011.

“Hasil analisis awal mendapati berlaku peningkatan terhadap kos bagi bahan-bahan utama makanan (dedak) ayam yang telah meningkat hampir beberapa kali sepanjang tahun ini iaitu jagung, soya dan minyak sawit mentah.

“Dua bahan tersebut iaitu jagung dan soya merupakan item yang diimport daripada negara pengeluar luar negara,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here