KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menggunakan pendekatan baharu bagi menangani kenaikan harga barang terutama harga ayam yang sering berulang.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata ia membabitkan pengeluaran surat pemberitahuan kepada peniaga peringkat borong dan runcit untuk mengadakan libat urus (engagement) bersama pengeluar dan penternak ayam di lokasi atau lokaliti berlakunya kenaikan harga.
Beliau berkata pendekatan itu bertujuan untuk membolehkan peniaga menyemak harga barang dan kos belian bagi mendapatkan margin untung yang lebih munasabah.
“Di samping itu, pendekatan ini juga bertujuan memberi peringatan kepada peniaga ayam supaya tidak menaikkan harga di mana-mana peringkat rantaian pengedaran sewenang-wenangnya.
“Adalah diharapkan, peniaga di semua peringkat rantaian mengekalkan etika yang tinggi dalam menjalankan perniagaan dan membantu kerajaan agar harga ayam kekal stabil tanpa kenaikan mendadak dan berterusan.
“Sekiranya peniaga enggan memberi kerjasama dalam menjayakan pendekatan baharu ini, tindakan tegas akan diambil dan kompaun maksimum dan/atau pendakwaan di mahkamah akan diambil ke atas peniaga terlibat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Alexander berkata KPDNHEP akan mengadakan perbincangan berterusan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam memastikan faktor huluan seperti harga dedak ayam yang diimport, harga baka ayam dan harga anak ayam yang mempengaruhi harga ayam di peringkat hiliran dapat diminimakan dan terurus.
Beliau menambah, KPDNHEP tidak bercadang untuk memperkenalkan kawalan harga tambahan selain dilaksanakan ketika musim perayaan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).
“Bagaimanapun, kementerian tidak teragak-agak untuk melaksanakan kawalan harga jika harga terus meningkat di luar harga munasabah atau terdapatnya kartel memunipulasi harga di semua peringkat rantaian,” katanya. – Malaysiapost

