Kerajaan, PH tandatangan MoU Transformasi dan Kestabilan Politik esok

0
3

KERAJAAN Persekutuan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadualkan akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik bersama Pakatan Harapan (PH), esok.

Menerusi satu kenyataan bersama wakil pihak kerajaan dan PH hari ini, kedua-dua pihak juga bersetuju untuk mendedahkan memorandum persefahaman tersebut kepada umum.

“Kedua-dua pihak berusaha untuk mendedahkan sepenuhnya memorandum persefahaman ini kepada umum sebagai komitmen terhadap keterbukaan penuh dan kebertanggungjawaban.

“Sesuai dengan semangat dan komitmen untuk menterjemahkannya, maka kedua-dua pihak bersetuju untuk menandatangani persefahaman ini pada hari esok, 13 September 2021 jam 5 petang bertempat di Dewan Bankuet, Parlimen Malaysia,” kata kenyataan bersama itu.

Menurut kenyataan itu, MoU terbabit akan disempurnakan oleh Perdana Menteri bersama ketua parti daripada PH iaitu Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Presiden Upko Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Kata kenyataan itu lagi, wakil bagi pihak kerajaan adalah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

PH pula diwakili oleh Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Salahuddin Ayub, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Loke Siew Fook, Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP Gobind Singh Deo, Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here