KKM perjelas punca maklumat kematian ambil masa lama

0
2
Jenazah covid-19 dibawa oleh petugas-petugas Bilik Mayat HKL ke van jenazah dan dibawa ke tanah perkuburan.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) hari ini menjelaskan perbezaan antara Kematian yang Dilaporkan (Reported Deaths) dengan Kematian Sebenar (Actual Deaths).

Menurut KKM berdasarkan maklumat disediakan Ketua Data, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), Dr Mahesh Appannam, kematian yang dilaporkan adalah kes kematian berdasarkan hari ia diumumkan kepada orang awam.

Setakat ini, KKM menggunakan data-data ini untuk dilaporkan kepada awam.

Jelas KKM, kematian sebenar pula adalah kes kematian berdasarkan tarikh sebenar kematian itu berlaku.

“KKM melaporkan kepada rakyat kes kematian yang disebabkan jangkitan Covid-19 (deaths due Covid-19) berbanding kes kematian dengan Covid-19 (deaths with COVID-19).

“Kematian yang disebabkan jangkitan Covid-19 adalah kes kematian yang telah disahkan berpunca daripada jangkitan Covid-19 melalui siasatan klinikal,” katanya.

Tambah KKM, kematian dengan Covid-19 pula ialah pesakit didapati positif Covid-19 ketika kematian berlaku (atau sebelum kematian).

“KKM hanya fokus kepada kes kematian disebabkan jangkitan Covid-19 (deaths due to Covid-19) kerana angka kematian yang tepat ini penting untuk analisis keberkesanan vaksin, penentuan kadar kematian dan sebagainya.

“Namun maklumat ini mengambil masa lama kerana setiap kes kematian akibat Covid-19 perlu melalui proses bedah siasat dan audit klinikal,” katanya lagi.

Menurut KKM lagi, antara akhir Julai hingga akhir Ogos, petugas kesihatan menanggung beban kerja yang tinggi terutama di Lembah Klang dan ini menyebabkan siasatan klinikal tertangguh sekali gus lewat dilaporkan.

Ini bermakna, kata KKM, terdapat kes kematian akibat Covid-19 yang telah berlaku beberapa minggu lalu tetapi hanya dilaporkan hari ini kerana hasil siasatan dan laporan audit baru sahaja diperolehi.

“Jadi, bagaimanakah caranya untuk KKM melaporkan data tertunggak ini kepada rakyat Malaysia? KKM sememangnya telus dan mahu terus telus dalam melaporkan jumlah kematian kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Namun begitu, adalah penting juga untuk kita mendapat gambaran sebenar tentang trend di Lembah Klang yang menunjukkan penurunan ketara jumlah kematian, seperti dijangka apabila peratusan liputan vaksinasi semakin tinggi,” katanya.

Sehubungan, KKM menjelaskan, pihaknya membuat keputusan untuk lebih telus dengan melaporkan kedua-dua maklumat supaya rakyat mendapat gambaran lebih jelas tentang situasi yang berlaku.

“Ini termasuklah tarikh kematian sebenar dan tarikh dilaporkan bagi setiap kes kematian dan juga BID yang berlaku. Data-data ini boleh diakses melalui data sumber terbuka, Github,” katanya.

Semalam Malaysia melaporkan 592 kematian akibat Covid-19, tertinggi pernah direkodkan sejak wabak itu melanda negara.

Bagaimanapun menurut KKM jumlah sebenar kematian semalam hanya 100, manakala 492 lagi adalah termasuk kes tertunggak atau ‘backlog’ yang tidak dilaporkan sebelum ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here