SAMA ada Datuk Seri Ahmad Maslan atau Nga Kor Ming, mereka perlu mepaskan jawatan dalam parti atau sekurang-kurangnya bercuti daripada sebarang posisi jika terpilih menjadi Timbalan Speaker Dewan Rakyat.
Demikian kenyataan kumpulan pendesak pembaharuan pilihan raya BERSIH, yang menegaskan langkah tersebut perlu diambil bagi memastikan sama ada Ahmad atau Kor Ming mampu bertugas secara adil dan dilihat benar-benar bebas daripada pengaruh parti.
Dengan cara itu, katanya, seseorang Timbalan Speaker boleh menumpukan kepada terhadap isu-isu di Dewan Rakyat dan menguatkuasakan peraturan mesyuarat tanpa sebarang ketakutan atau kepentingan parti, lapor MalaysiaKini.
“Selain daripada perlu bersikap adil, speaker dan timbalan speaker juga perlu dilantik daripada kalangan mereka yang tiada rekod jenayah atau rasuah dan berintegriti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menjelang sidang parlimen minggu depan, Ahmad selaku Setiausaha Agung Umno dan Kor Ming adalah Timbalan Setiausaha Agung DAP akan diundi menjadi Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang dikosongkan Datuk Seri Azalina Othman Said baru-baru ini.
Isu pelantikan Timbalan Speaker kali ini menarik lebih banyak perhatian kerana berlaku selepas pelantikan Perdana Menteri baharu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Cadangan agar tempat itu diisi wakil pembangkang disuarakan pemimpin kanan Pakatan Harapan (PH) dan turut mendapat sokongan Azalina yang berpendapat ia menjadi peluang terbaik untuk Ismail Sabri meneruskan agenda reformasi Parlimen.
Namun Azalina mengingatkan usul tersebut perlu datang daripada pihak kerajaan.
Kata BERSIH, apa yang membimbangkan sekarang ialah Ahmad masih dibicarakan di mahkamah selepas dituduh mengikut Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2021.
BERSIH juga mempersoalkan jika Ahli Parlimen Pontian itu dilantik menjadi Timbalan Speaker, adakah beliau dapat menjalankan tugasnya dengan penuh amanah serta berprinsip.
“Adakah kerajaan dapat menjamin jawatan penting itu tidak disalahgunakan untuk melepaskan diri daripada pendakwaan yang Ahmad Maslan hadapi?
“Timbul juga kebimbangan sekiranya Ahmad menggunakan sidang parlimen yang mulia sebagai alasan untuk menangguhkan perbicaraan, yang sekali gus mencemarkan kesucian parlimen,” katanya.
Proses pengundian untuk memilih Timbalan Speaker Dewan Rakyat dijangka diadakan pada 14 September ini.
Sebelum ini beberapa pihak turut mengemukakan usul agar Speaker Datuk Azhar Harun, digantikan namun ia sudah ditolak daripada dibentangkan. – Malaysiapost

