BEKAS Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan meninggal dunia jam 10.15 pagi ini.
Berita pemergian Allahyarham disahkan oleh Pengerusi dan Pemandu Majlis Perundingan Melayu (MPM), Tun Hanif Omar.
Difahamkan, jenazah akan dibawa ke Masjid Bukit Aman, Kuala Lumpur untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Asar.
Allahyarham sebelum ini dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) awal bulan lalu selepas dilaporkan pengsan ketika menunggu janji temu dengan doktor.
Zaman Khan juga pernah menjalani rawatan di hospital yang sama pada Januari tahun lalu susulan mengalami pendarahan dalam usus.
Ketika menjadi Pengarah JSJ Bukit Aman, Allahyarham terbabit dalam kes berprofil tinggi termasuk kes Botak Chin (Wong Swee Chin) dan P Kalimuthu, yang dikenali sebagai Bentong Kali.
Allahyarham juga antara pegawai kanan polis yang terawal di lokasi kejadian tragedi kondominium Highland Towers pada 1993.
Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Ketua Polis Selangor dari 1975 hingga 1978 dan menamatkan perkhidmatan dalam pasukan beruniform sebagai Ketua Pengarah Penjara pada 1997. – Malaysiapost

