PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa kerajaan menubuhkan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat pendedahan yang dibuat bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menerusi buku memoirnya “My Story: Justice In The Wilderness”.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, perkara itu dituntut Umno sejak Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada 27 Ogos lalu.
Katanya, RCI bukan sahaja untuk menyiasat pendedahan melalui buku yang diterbit Thomas itu, namun termasuk pendedahan yang menimbulkan persoalan kemungkinan berlaku campur tangan politik dalam institusi Peguam Negara, kehakiman dan keselamatan semasa negara di bawah pentadbiran ‘kerajaan 22 bulan’.
“Sebenarnya desakan ini telah pun dibuat ramai pihak sejak awal tahun ini dengan ratusan laporan polis juga telah dibuat.
“Umno melalui Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan turut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 5 Februari 2021,” katanya menerusi Facebook.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata, negara perlukan jawapan kepada segala persoalan di sebalik pendedahan sama ada ‘disengajakan’ atau ‘tidak disengajakan’ menerusi buku tersebut.
“Kerana ia melibatkan maruah serta keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
“Persoalan yang terungkai malah berpotensi menjawab kepada lebih banyak persoalan kepada apa yang berlaku selepas tarikh 9 Mei 2018,” katanya.
Beliau berkata, ‘kerajaan 18 bulan’ merujuk kepada pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebelum ini tidak tergerak untuk menubuhkan RCI tersebut, maka Umno berharap kerajaan baharu dapat menjadikannya kenyataan.
“Kerajaan baharu perlu memastikan Keluarga Malaysia tidak terus diselubungi dengan persoalan yang masih belum terjawab.
“Kebenaran perlu diketahui. Rakyat perlu tahu. Malaysia perlu tahu,” katanya.- Malaysiapost

