
MALAYSIA mencatatkan 341 kes kematian baharu akibat Covid-19 hari ini.
Ketua Pengarah KesihatanTan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata angka tersebut sekali gus menjadikan kes kumulatif setakat ini berjumlah 19,827 kes.
Daripada kes kematian hari ini, 300 mangsa adalah warganegara manakala 41 orang lagi adalah bukan warganegara.
“Sebanyak 102 kes adalah kematian sebelum dibawa ke hospital atau Brought In Dead (BID) yang mana 82 daripadanya mangsa tempatan.
“Seramai 183 orang adalah mangsa lelaki dan 158 lagi adalah wanita.
“Selangor seperti biasa bukan sekadar mendominasi angka kematian tertinggi mangsa malah turut menyaksikan kematian tiga digit menjadi 102 kes hari ini dan 93 daripadanya kematian di hospital dengan 85 daripadanya warga tempatan dan 60 orang adalah lelaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, enam negeri merekodkan kes kematian dua angka iaitu Kedah (86), Pulau Pinang (38), Sabah (28), Johor (26), Perak (18) dan Pahang (11).
Enam lagi negeri merekodkan angka kematian satu digit bawah 10 kes iaitu Kelantan (9), Kuala Lumpur (7), Terengganu (5), Negeri Sembilan (4), Sarawak (4) dan Melaka (3). – Malaysiapost
