Bersatu bukan politik iri hati dan hasad dengki – Muhyiddin

0
1

PRESIDEN Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan parti itu bukan berlandaskan
politik iri hati dan hasad dengki sebaliknya mengutamakan rakyat tanpa mengira kaum serta agama.

Muhyiddin turut menegaskan parti itu tidak mengamalkan politik perkauman melampau, tamak haloba dan kemaruk kuasa.

“Buktikan nilai kepimpinan kita yang berteraskan prinsip integriti dan amanah. Kita tidak boleh berkompromi dengan perbuatan rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa. Kita tidak mencampuri urusan mahkamah.

“Kita menghormati prinsip pengasingan kuasa antara badan Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman. Kita juga komited dengan agenda reformasi institusi yang menjamin tatakelola kerajaan yang baik,” katanya dalam ucapan majlis ulang tahun kelima
Bersatu Malaysia secara maya malam ini.

Muhyiddin berkata beliau boleh berdiam diri dan tidak melakukan apa-apa selepas meletak jawatan namun dirinya mempunyai tanggungjawab sebagai Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

“Apa jadi kalau saya dan semua ahli parlimen Bersatu tidak mengambil apa-apa pendirian dalam pemilihan Perdana Menteri yang baharu dan pembentukan kerajaan selepas itu?

“Pertama, keadaan politik negara akan terumbang-ambing kerana suasana pada ketika itu menunjukkan tidak ada sesiapapun yang mendapat sokongan majoriti.

“Kedua, Pakatan Harapan dengan sokongan kumpulan kleptokrat berkemungkinan kembali menjadi Kerajaan dan Bersatu menjadi pembangkang,”katanya.

Muhyiddin menjelaskan disebabkan itu beliau telah berbincang dengan wakil rakyat Bersatu dan PN supaya mencalonkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri yang baharu.

Katanya, Bersatu dan parti komponen PN akan terus berada dalam kerajaan untuk meneruskan usaha memulihkan negara sehingga pilihan raya dapat diadakan dengan selamat dan mandat dikembalikan semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here