MEMINDA Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun antara tujuh tawaran kerajaan menerusi Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan.
Mengumumkan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tujuh tawaran itu bagi
mewujudkan lanskap politik baharu dalam menangani wabak Covid-19 dan pemulihan ekonomi.
Jelasnya langkah itu selaras nasihat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu untuk mewujudkan sebuah pentadbiran stabil dan berfungsi menghadapi pelbagai krisis.
Selain mengehadkan tempoh memegang jawatan Perdana Menteri, tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan turut meliputi:
- Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen.
- Pelaksanaan Undi18 dalam tempoh terdekat. Justeru, satu Rang UndangUndang Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan.
- Keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen melibatkan Ahli Parlimen Kerajaan dan Ahli Parlimen Pembangkang.
- Setiap Rang Undang-Undang termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan dirunding dan dipersetujui secara bersama.
- Ahli parti pembangkang akan dilibatkan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk memberikan pandangan dan cadangan penambahbaikan.
- Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri.
Ismail Sabri berkata transformasi itu memaktubkan nilai murni dan muafakat merentasi pelbagai latar agama, kaum, dan budaya dalam konteks Keluarga Malaysia.
Katanya, ia juga selaras semangat terus menjunjung Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi yang menjadi teras kehidupan bermasyarakat dan bernegara. – Malaysiapost

