Covid-19: Kit Siang terus desak KJ perjelas kes BID tinggi

0
2

VETERAN DAP Lim Kit Siang terus mendesak Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin untuk menjelaskan perincian berhubung angka kes kematian di luar hospital (BID) akibat Covid-19 yang begitu tinggi ketika ini.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, berkata beliau mengalu-alukan inisiatif laman web baharu yang menyediakan maklumat terkini berkaitan Covid-19.

Namun, Kit Siang berkata, Khairy perlu mengotakan janjinya di Kota Kinabalu Isnin lalu, untuk memberikan lebih banyak perincian berhubung angka kematian BID yang begitu tinggi.

“Khairy berkata angka kematian ini tidak semestinya daripada 24 jam yang lepas kerana terdapat ‘backlog’ yang panjang untuk mengesahkan punca kematian, beliau jelas sekali mengatakan yang kadar kematian BID akibat Covid-19 ini sebenarnya jauh lebih tinggi.

“Beliau berjanji membuat pengumuman dan penjelasan lanjut mengenai angka BID yang tinggi pada Rabu selepas beliau mendapatkan data baharu, namun sehingga kini Khairy masih belum menunaikan janjinya itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kit Siang berkata, terdapat kira-kira 500 kes BID pada Julai lalu, sebelum ia meningkat tiga kali ganda kepada lebih 1,600 kes pada Ogos.

Katanya, dalam tempoh 10 hari sejak Khairy menjadi Menteri Kesihatan yang baharu, terdapat 876 kes BID yang mana tiga kali ganda jumlah BID yang dilaporkan sepanjang 10 hari pertama Ogos.

“Kini, Khairy berkata bahawa angka kes BID yang dilaporkan sebenarnya dianggarkan kurang daripada angka sebenar.

“Inilah sebabnya mengapa rakyat Malaysia mengharapkan Khairy untuk memberikan gambaran sebenar dan sepenuhnya berhubung isu ini,” katanya.

Kit Siang berkata, perkara itu juga menjadi sebab mengapa beliau mendesak agar Khairy mengumumkan berapa banyak jumlah mayat yang berada di hospital untuk setiap negeri, yang tidak direkodkan dalam data Covid-19 KKM kerana masih menantikan hasil keputusan saringan Covid-19.

“Menurut laman web baharu berkenaan, terdapat 3,419 daripada 19,486 kes kematian keseluruhan yang dicatatkan adalah kes BID, atau bersamaan 17.5%, yang mana merupakan angka yang begitu tinggi.

“Sebagai contoh, 30% daripada 361 kes kematian yang dicatatkan pada 8 September adalah kes BID — yang menurut Khairy jauh lebih rendah daripada anggaran,” katanya.

Sehubungan itu, Kit Siang berkata, Khairy harus mengambil langkah segera bagi mengurangkan angka kes BID.

“Saya menyambut baik keputusan beliau untuk menghantar semua pesakit Covid-19 kategori tiga dan kategori dua yang berisiko tinggi ke pusat kuarantin.

“Banyak yang perlu dilakukan oleh Khairy untuk menurunkan angka kes BID yang tinggi dan beliau harus mendengar pandangan dan idea daripada sektor kesihatan awam dan swasta berhubung perkara itu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here