Pelancong dari seluruh negara dibenarkan kunjungi Langkawi

0
2

PELANCONG dari seluruh negara termasuk dari negeri yang berada dalam Fasa satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenarkan mengunjungi Langkawi bermula 16 September ini.

Bagaimanapun mereka daripada kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak dibenarkan mengunjungi pulau peranginan tersebut.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pelancong mempunyai pilihan untuk pergi ke Langkawi melalui jalan udara dan darat.

“Bagi pergerakan menggunakan jalan darat, pelancong perlu menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan, sekurang-kurangnya untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan dari destinasi permulaan ke jeti feri ke Langkawi.

“Manakala bagi pelancong yang memulakan perjalanan ke Langkawi dari Kedah dan Perlis, serta yang menggunakan jalan udara, tidak diwajibkan untuk menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nancy berkata, tiada had umur ditetapkan untuk kemasukan ke pulau peranginan itu dan individu berumur bawah 18 tahun perlu bergerak bersama penjaga yang telah lengkap divaksinasi.

Katanya, MOTAC akan membuat pemantauan berhubung pelaksanaan gelembung pelancongan di Langkawi dan akan mendapatkan maklum balas daripada masyarakat berkaitan program itu secara keseluruhan dalam tempoh masa dua minggu.

“Maklum balas ini kelak akan dinilai dan dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk pertimbangan tindakan lanjut, seperti pembukaan lebih banyak destinasi pelancongan yang dikenal pasti selaras dengan aspirasi MOTAC,” katanya.

Berikut adalah SOP yang perlu dipatuhi:

i. Terhad kepada individu yang telah lengkap 2 dos vaksinasi;

ii. Jenis percutian yang dibenarkan ialah secara harian (pergi dan pulang pada hari yang sama), bermalam, percutian dengan tempahan penginapan/tiket masuk yang telah dibuat terlebih dahulu, percutian pakej pelancongan melalui syarikat pelancongan yang berlesen dan berdaftar dengan MOTAC;

iii. Bilangan penumpang setiap kenderaan semasa dalam perjalanan adalah tertakluk kepada kapasiti sebenar kenderaan tersebut;

iv. Pengunjung yang perlu menyesuaikan dengan waktu perkhidmatan feri ke Langkawi dibenarkan bermalam di premis penginapan berdaftar di Kedah/Perlis;

v. Pengunjung perlu menunjukkan bukti dokumen pembelian produk pelancongan seperti tiket penerbangan, tiket feri, resit hotel atau resit pakej pelancongan semasa memohon kebenaran dengan PDRM dan ketika diminta oleh penguatkuasa agensi pematuhan SOP. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here