KKM lancar laman web “COVIDNOW”

0
1

Nilam Oshman

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) melancarkan laman web baharu “COVIDNOW” bermula jam 6 petang ini.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata laman web ini bukan sahaja membantu KKM tetapi rakyat juga boleh membuat analisa data berkaitan Covid-19.

“Anda boleh mula layarinya bermula jam 6 petang ini di https://COVIDNOW.moh.gov.my dan data harian terkini akan tersedia di COVIDNOW selepas jam 12 malam,” katanya dalam sidang media petang ini.

Beliau berkata, laman web itu akan memaparkan data utama yang lebih mudah difahami dan boleh diakses oleh masyarakat umum.

Katanya, usaha membangunkan laman itu mengambil masa beberapa bulan.

“Justeru, saya ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan yang telah bekerja keras membangunkannya.

“Saya berharap dengan data dan maklumat dikongsikan di GitHub dan juga COVIDNOW, masyarakat akan mempunyai pemahaman dan kesedaran lebih baik berkenaan situasi jangkitan Covid-19 di dalam negara.

“Di samping itu, usaha untuk melakukan perubahan tingkah laku (behavioural change) dan usaha untuk mengamalkan SOP-SOP dapat dipertingkatkan supaya kita boleh mula memasuki fasa baharu hidup bersama virus Covid-19,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy berkata, pengurusan pandemik Covid-19 merupakan satu usaha yang sangat mencabar bukan sahaja kepada kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri, malah petugas barisan hadapan kesihatan dan keselamatan, serta seluruh penduduk di Malaysia.

“Ini kerana bagi memastikan apa jua usaha yang dijalankan untuk mengawal dan menguruskan pandemik ini berjalan lancar, selamat dan akhirnya berjaya, penglibatan secara menyeluruh oleh kerajaan dan masyarakat sangatlah penting,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, untuk memastikan penglibatan yang menyeluruh daripada masyarakat termasuk ahli akademik, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha melindungi diri, keluarga dan komuniti daripada jangkitan Covid-19, adalah dengan menyediakan data serta maklumat lengkap dan terperinci berhubung situasi semasa jangkitan virus tersebut di dalam negara.

Katanya, penglibatan menyeluruh masyarakat, dengan pemahaman betul mengenai situasi semasa jangkitan wabak itu dalam negara amat penting untuk memastikan proses peralihan ke fasa endemik dilakukan dengan lancar dan selamat.

“Kita harus menerima hakikat bahawa sekalipun kita berjaya mengawal pandemik ini, kita juga perlu bersedia untuk menerima kenyataan bahawa akan tiba masanya nanti Covid-19 akan menjadi endemik dan untuk itu, kita mesti hidup bersama virus ini.

“Maka untuk mencapai aspirasi tersebut, saya bersama pengurusan tertinggi
KKM bersetuju untuk memastikan data dan maklumat berhubung Covid-19 di dalam negara dapat diakses oleh semua pihak,” katanya.

Khairy juga memaklumkan Malaysia antara negara terawal yang berkongsi data secara terbuka.

“Namun begitu paparan data di GitHub dirasakan lebih sesuai untuk mereka yang mahir dengan sains data.

“Oleh itu, bermula hari ini, seiring dengan hasrat saya untuk lebih telus dalam perkongsian maklumat, KKM akan melancarkan laman web baru iaitu COVIDNOW,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here