MENTERI Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin hari ini mengadakan mesyuarat bersama Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkenaan pembukaan semula sesi persekolahan.
Menerusi perkongsian di Facebooknya, beliau turut memaklumkan satu pelan komprehesif mengenai pengoperasian sekolah akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Selesai libat urus bersama kumpulan pakar pagi tadi, saya teruskan mesyuarat bersama Menteri Kesihatan berkaitan pembukaan sekolah.
“Mesyuarat turut disertai pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) serta Timbalan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Tuan Hamzah Ishak.
“Insya-Allah, satu pelan komprehensif mengenai pengoperasian sekolah akan saya umumkan dalam masa terdekat, terima kasih atas pandangan, cadangan dan maklum balas diberikan terhadap rancangan pembukaan semula sekolah. KPM sentiasa komited untuk melakukan yang terbaik,” katanya.
Pagi tadi, Radzi mengadakan sesi libat urus bagi membincangkan perkara berkaitan pembukaan semula sekolah bersama kumpulan pakar, antara lain mendapatkan pandangan untuk perhalusi demi memastikan murid dapat hadir ke sekolah dalam keadaan selamat.
Sesi itu melibatkan pakar kesihatan awam, Psikologi kanak-kanak dan Pediatrik, ahli akademik, bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) serta Majlis Guru Besar Malaysia dan Majlis Pengetua Sekolah Malaysia.
Antara yang terlibat adalah Tan Sri Abd Ghafar Mahmud, Prof Madya Dr Noor Syamilah Zakaria, Datuk Prof Dr Adeeba Kamarulzaman, Dr Khor Swee Kheng, Dr Rakhee Yadav, Prof Datin Dr Mariani Md Nor dan Prof Dr Suriani Abu Bakar.
Isnin lalu, KPM bersetuju membuka semula sekolah di Labuan mulai 3 Oktober depan dengan fasa pertama membabitkan pelajar Tingkatan Lima dan Enam.
Menteri Kanan Pendidikan itu berkata keputusan dibuat setelah menilai bahawa Labuan satu-satunya wilayah yang memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan jangkitan Covid-19 yang dapat dikawal. – Malaysiapost

