DATUK Seri Najib Razak memaklumkan peguamnya telah menghantar surat tuntutan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menuntut penjelasan berhubung dakwaan beliau pernah meminta campur tangan bekas Perdana Menteri itu dalam kes mahkamah dihadapinya.
Najib menerusi satu hantaran di Facebooknya berkata, pihaknya memberi tempoh sehingga esok untuk pihak Muhyiddin menjawab.
“Menuntut dia (Muhyiddin) jawab secara jelas jika dia yang salurkan “khabar angin” berkenaan saya kepada (Ketua Penerangan Bersatu) Datuk Wan Saiful Wan Jan.
“Selain itu tuntut dia mengulas bila dan bagaimana saya pernah minta dia campur tangan dalam kes-kes mahkamah saya. Kami beri tempoh sehingga hari esok untuk dia jawab. Kita sama-sama tunggu jawapan PM8.
“Kami akan tentukan langkah seterusnya setelah menerima jawapan dia,” katanya.
Najib yang juga bekas Perdana Menteri seterusnya berkata beliau boleh menerima kritikan dan kecaman namun bukan difitnah.
“Kamu boleh kritik dan kecam saya tetapi jangan fitnah saya lagi.
“Sebab saya telah bosan dengan fitnah-fitnah yang tak henti-henti, penggunaan propaganda media serta penyalahgunaan agensi kerajaan terhadap saya,” katanya lagi.
Pada 16 Ogos lalu, Najib berkata beliau menerusi peguamnya akan menfailkan saman terhadap Muhyiddin dan Wan Saiful kerana didakwa menghina mahkamah.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata saman berkenaan dibuat ekoran dakwaan Muhyiddin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri kerana terdapat pihak yang ‘rakus’ kuasa demi jawatan nombor satu negara.
Sementara itu, Najib menerusi hantaran sama di Facebooknya memaklumkan beliau telah menerima surat balasan dari peguam Wan Saiful.
“Pihak sebelah sana suka fitnah. Sampai fitnah ini dibawa ke perutusan dalam TV bahawa saya pernah minta campur tangan PM dalam kes-kes mahkamah saya.
“Kononnya ini sebab PM8 dijatuhkan. Bukan sebab mereka gagal segagalnya untuk mengawal Covid negara. Sehingga Ketua Penerangan PPBM (Bersatu) melanjutkan fitnah PM dalam posting FB dia dengan merujuk nama saya.
“Tapi bila dituntut beri bukti dalam mahkamah, mereka jawab pula bahawa mereka cuma dengar dari khabar angin. Tak ada bukti.
Sekadar tanya soalan sahaja. Kononnya nak beri peluang saya jawab,” katanya mengulas jawapan daripada Wan Saiful. – Malaysiapost

