MALAYSIA dijangka mencapai 100 peratus kadar vaksinasi lengkap bagi populasi dewasa menjelang akhir Oktober ini.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata berikutan itu penduduk negara ini akan memulakan hidup dengan wabak Covid-19 sebagai endemik.
“Insya-Allah, kita akan mencapai kadar vaksinasi 80 peratus daripada populasi dewasa pada akhir bulan ini dan kadar 100 peratus pada akhir Oktober.
“Selepas itu, kita akan mula hidup dengan Covid-19 sebagai penyakit endemik,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Sidang Kemuncak Pemulihan Negara dengan tema ‘Winning the War against Covid – The Road to Recovery hari ini.
Tengku Zafrul yang juga Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkata sehingga kini usaha dilaksanakan kerajaan telah menampakkan hasil positif dengan jumlah kes kemasukan ke hospital dan unit rawatan rapi (ICU) terus menurun.
“Ketika Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang bakal memasuki Fasa Dua PPN mulai esok, lebih banyak aktiviti ekonomi bakal dibuka dalam usaha memulihkan kembali sektor ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata, sehingga 7 September lalu, lebih 20 juta orang atau 89 peratus populasi dewasa sudah menerima dos pertama, manakala 16 juta atau 70 peratus sudah mendapat dua dos vaksin. – Malaysiapost

