
KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) mengumumkan hanya pekerja perkhidmatan sokongan di sekolah yang lengkap vaksinasi sahaja dibenarkan masuk ke premis sekolah ketika sesi persekolahan bersemuka dibuka mulai 3 Oktober ini.
Pengumuman itu dibuat melalui surat arahan dikeluarkan Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan) KPM, Noor Azman Abdul Rahman di laman web rasmi kementerian berkenaan.
Menurut Noor Azman, arahan itu selaras dengan hasrat KPM memastikan status imuniti kelompok membabitkan semua petugas secara tetap atau kontrak dicapai.
“Kebenaran ini terpakai kepada penerima lengkap melepasi hari ke-14 daripada tarikh suntikan dos kedua vaksin jenis Pfizer, Astra Zeneca dan Sinovac.
“Manakala bagi penerima dos Johnson & Johnson dan Cansino pula, mereka perlu melepasi hari ke-28 daripada tarikh suntikan,” katanya melalui surat arahan bertarikh 3 September lalu.
Beliau turut mengingatkan semua kontraktor yang terbabit dalam perkhidmatan kawalan keselamatan (PKK), kebersihan bangunan dan kawasan (KBK), bekalan makanan bermasak (BMB) dan bekalan makanan mentah (BMM) memastikan setiap pekerja mereka sudah menerima vaksin sebelum dibenarkan memasuki premis atau kawasan sekolah.
Katanya, setiap kebenaran diperoleh pekerja itu bagaimanapun masih tertakluk kepada penilaian risiko Kementerian Kesihatan (KKM) dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN). – Malaysiapost
