KERAJAAN Selangor akan memulakan proses mewartakan semula Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU), kata Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang hari ini, juga telah memutuskan beberapa ketetapan berkenaan Hutan Simpan tersebut.
“Iaitu hanya 104 hektar daripada jumlah keseluruhan 1,326 hektar akan kekal dinyahwarta bagi melengkapkan pemberimilikan tanah kepada Kampung Orang Asli Busut Baru bagi menyelesaikan isu yang tertangguh sejak tahun 2006, mereka telah dipindahkan dari penempatan asal pada 1994 untuk tujuan pembinaan KLIA.
“Selain itu, kerajaan negeri akan mempertimbangkan sebahagian kecil lagi kawasan akan kekal nyahwarta untuk tujuan pertimbangan jajaran East Coast Rail Link (ECRL).
“Malah kerajaan negeri juga akan menghentikan cadangan pelan pembangunan ke atas kawasan tersebut serta membatalkan pemberimilikan tanah itu kepada syarikat terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan kawasan gantian yang diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal seluas 1,436 hektar di Sungai Panjang, Ampang Pechah dan Bukit Broga akan kekal statusnya sebagai Hutan Simpan Kekal.
“Justeru, kerajaan negeri menegaskan segala proses penyahwartaan sebelum ini telah mengikuti segala prosedur dan tatacara yang dinyatakan mengikut lunas undang-undang,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan menulis surat kepada Speaker Dewan Negeri Selangor untuk mengadakan sidang Jawatankuasa Pilihan Khas Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) bagi menjawab sebarang isu yang dibangkitkan berkenaan dengan penyahwartaan sebelum ini. – Malaysiapost

