PKR Sabah bersetuju untuk bertanding di tujuh kerusi seperti diperuntukkan oleh Parti Warisan Sabah (Warisan) dan mendukung kepimpinan Datuk Seri Shafie Apdal.
Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew, berkata keputusan itu dicapai hasil perbincangan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR dengan Warisan.
“Keputusan itu disahkan oleh Presiden PKR dan Setiausaha Agung untuk menyokong keputusan pemimpin tempatan demi kepentingan terbaik Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Liew berkata demikian selepas Presiden Warisan, Datuk Mohd Shafie Apdal mengumumkan pengagihan kerusi sebagai persediaan Pakatan Harapan (PH) Plus mempertahankan kerajaan Sabah.
PKR pada asalnya menyasarkan 14 kerusi namun selepas pengumuman calon dibuat pagi tadi hanya tujuh kerusi saja diperuntukkan untuk parti itu.
Untuk PRN kali ini, PKR bakal bertanding di Matunggong, Tempasuk, Tamparuli, Inanam, Api Api, Klias dan Sook.
Menurut Liew, pihaknya gembira dapat bekerjasama dengan Warisan, DAP, Upko dan Amanah untuk memastikan mereka kekal sebagai pakatan yang strategik, stabil dan padu mempertahankan mandat rakyat.
“Walaupun keputusan pada tahap ini adalah menggunakan logo PKR, kami berharap pengundi Sabah terus memberikan sokongan mereka kepada gabungan ini.
“Kami berpegang teguh pada kepercayaan dan kerjasama yang sudah ada dari semua sekutu dalam gabungan ini.
“Kami menyokong kepimpinan Mohd Shafie untuk memimpin negeri ini menuju kemenangan,” katanya. – Malaysiapost

