KERAJAAN SELANGOR mengesahkan menerima aduan dikemukakan sebilangan penerima vaksin di bawah Program Vaksin Selangor (SelVax), yang masih belum memperoleh sijil vaksin digital di aplikasi MySejahtera.
Exco Kesihatan Awam, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, setakat semalam SELangkah telah menghantar 159,919 rekod penerima yang telah lengkap dua dos vaksin SelVax kepada pasukan MySejahtera.
“Menurut rekod SELangkah, sebanyak 3,632 aduan telah diterima daripada mereka yang masih belum memperoleh sijil vaksinasi digital MySejahtera dan dikhuatiri angka sebenar lebih ramai.
“Justeru, bagi menyelesaikan isu ini, kerajaan negeri telah memohon penjelasan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dan dimaklumkan pihak Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia (MIMOS) menghadapi masalah teknikal dalam mengintegrasikan sebahagian data penerima vaksin SelVax ke dalam sistem MySejahtera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Siti Mariah berkata, pihak MIMOS memaklumkan proses tersebut akan mengambil masa dan tidak dapat memberi kepastian bila isu itu akan diselesaikan.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri telah memohon kepada CITF supaya penerima vaksin di bawah program SelVax diberi kebenaran untuk menggunakan sijil vaksinasi digital SELangkah buat sementara waktu.
“Selain itu, Menteri Kesihatan bersetuju membawa cadangan membenarkan penggunaan sijil vaksin SELangkah ke Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini dan kerajaan negeri masih menunggu maklum balas terhadap cadangan tersebut,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya menyedari keperluan terhadap sijil vaksinasi digital yang telah pun menjadi dokumen pengesahan bagi individu setelah menerima vaksin.
“Justeru, kerajaan negeri berharap agar cadangan ini dapat diluluskan oleh MKN dengan kadar segera demi kepentingan rakyat di Selangor,” katanya. – Malaysiapost

