MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin memberi jaminan bakal ada berita baik untuk pengusaha aktiviti sukan di kawasan terbuka tidak lama lagi.
Khairy berkata cadangan pembukaan semula aktiviti tersebut sudah dibincang dan diputuskan dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini.
Permintaan Menteri Belia dan Sukan untuk ‘outdoor team sports’ adalah wajar. Menteri KBS memang prihatin terhadap sektor sukan. Tadi dibincang dan diputuskan di sidang MKN Covid-19.
“Berita yang baik akan diumumkan,” kata Khairy menerusi satu ciapan di laman Twitter miliknya hari ini.
Terdahulu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mencadangkan kepada MKN agar sukan di kawasan terbuka dan gimnasium dibuka semula bagi kemudahan rakyat.
Beliau dilaporkan berkata jika kerajaan membenarkan industri kreatif dibuka semula termasuk panggung wayang, maka sektor sukan juga perlu dibuka.
Ahmad Faizal seterusnya berkata, mungkin aktiviti sukan berkenaan boleh dibuka dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat dan berharap cadangan pihaknya disokong oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
Mengenai pembukaan semula gimnasium, Khairy berkata KKM akan bersama-sama mengemukakan beberapa panduan pengudaraan kepada MKN yang perlu dipatuhi.
“Ini tidak akan mengambil masa yang lama tetapi kerana keadaan pusat kecergasan dalaman, kita mesti menekankan keperluan pengudaraan tertentu. Kita sedang mengusahakannya dengan segera,” katanya. – Malaysiapost

